Dalam sejarah, kita melihat setiap tamadun yang terbina, ada himpunan ilmunya yang tertulis.
Pada zaman kegemilangannya, kesarjanaan dalam bahasa Arab itu berkembang pesat setelah ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab daripada bahasa terkemuka dan maju pada masa itu, Latin, Yunani, Parsi, Hebrew dan Sanskrit. Pendidik Islam tidak pula berbondong-bondong menukar bahasanya kepada mana-mana bahasa ini. Tentu sekali ini menurut ajaran Allah, bahawa nabi itu diturunkan supaya menyampaikan ajarannya dalam bahasa ibunda umat itu sendiri.
O’Leary (1966) dan Nakosteen (1964) menyenaraikan sumbangan penterjemah dalam segala bidang ilmu ini. Senarainya panjang dan mengkagumkan segala. Tulisan mereka juga membolehkan kita memahami bagaimana sarjana Islam menjadi begitu maju setelah banyak ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ia menjadi asas pembinaan ilmu sarjana Islam itu sendiri.
Beberapa ciri penting dalam perkembangan ilmu Islam ini dapat kita lihat. Pertama, ia berkembang daripada asas ilmu yang dibawa masuk melalui terjemahan. Daripada meniru ilmuwan Islam belajar mencipta. Ini adalah satu tahap penting dalam pembinaan ilmu.
Kepustakaan dalam bahasa Melayu juga perlu diisi dulu dengan ilmu yang diimport dari bahasa lain. Sebarang tindakan yang menghalang pengimportan ilmu ini akan juga membantutkan perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu.
Kedua, ahli ilmuwan Islam itu sangat luas cakupan bidang keahliannya. Mereka tidak menjurus kepada satu bidang saja. Ibnu Sina juga adalah seorang falsafah dan ahli matematik. Bahkan, Ibnu Sina juga seorang pemuzik dan menulis risalah tentang muzik. Ilmu yang dibina oleh sarjana Islam itu heterogenus atau pelbagai sifatnya, bukan homogenus atau semacam saja.
Ketiga, mereka mempunyai obsesi mencari ilmu. Obsesi ini penting, tanpa obsesi sesuatu usaha tidak akan tamat.
Keempat, mereka menuliskan ilmu mereka. Tanpa ilmu yang tertulis, tidak ada tamadun. Inilah ciri-citi yang akan kita terap ke dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, demi menyerlahkan lagi tamadun Melayu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan